Wajah-wajah kesayangan hamba...Anak-anak Didikku 6M / 2010

Wajah-wajah kesayangan hamba...Anak-anak Didikku 6M / 2010
Wajah-wajah kesayangan hamba 6M / 2010.....Walaupun di kelas kedua namun kejayaan mereka dalam B.M UPSR (Penulisan) mampu membuatkan hamba tersenyum...Gred A(33) manakala B(4)..Tahniah!

Monday, January 20, 2014

Syarahan : Kebaikan Menyertai Aktiviti Kokurikulum di Sekolah


Tuan Pengerusi Majlis, Yang berusaha Tuan Guru Besar,barisan panel hakim yang arif dan bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan yang dikasihi. Pada pagi yang mulia ini, saya akan menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk “Kebaikan Menyertai Aktiviti Kokurikulum di Sekolah”.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati, 
Kegiatan kokurikulum merupakan satu kegiatan yang wajib disertai oleh setiap murid di sekolah. Aktiviti kokurikulum meliputi unit-unit beruniform, persatuan,kelab dan sukan. Penyertaan murid-murid dalam kegiatan kokurikulum banyak memberi  faedah dan kebaikan.
Aktiviti-aktiviti yang dijalankan dapat menambahkan pengalaman dan ilmu pengetahuan. Segala aktiviti ini berhubung kait dengan pembelajaran di dalam bilik darjah. Oleh itu, penyertaan setiap murid adalah penting untuk memberikan pendedahan dan pemahaman yang mendalam berkaitan dengan pelajaran yang dipelajari.

Selain itu, kokurikulum dapat melatih diri kita bekerjasama, tolong-menolong, bertolak ansur, berdikari serta hormat-menghormati antara satu sama lain. Semua nilai murni ini haruslah dihayati dan diamalkan dalam menjalani kehidupan.

Hadirin yang dihormati,
Melalui kegiatan kokurikulum kita berpeluang menyumbangkan tenaga dan bakti kepada masyarakat setempat. Sebagai contoh, kegiatan gotong-royong yang dijalankan oleh Persatuan Pengakap menggalakkan ahli-ahli Pengakap supaya bersatu padu dan bekerjasama di samping menjalin hubungan yang erat dengan masyarakat sekeliling.
Dengan ini, lahirlah generasi yang berbudi bahasa dan bersopan santun.
Selain itu, aktiviti sukan dan permainan yang kita sertai semasa kegiatan kokurikulum dapat membina kecerdasan fizikal dan mental kita. Sebagai mengakhiri syarahan saya pada pagi ini, saya ingin menegaskan bahawa kegiatan kokurikulum banyak memberi faedah dan kebaikan kepada kita khususnya para pelajar.
Sekian, terima kasih.

Syarahan-“Ke Arah Mewujudkan Masyarakat Penyayang”.



Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha  Guru Besar SJKC Mentakab 1, barisan hakim yang adil,guru-guru dan rakan pelajar yang dihormati. Pada hari yang mulia ini, izinkan saya menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk “Ke  Arah Mewujudkan Masyarakat Penyayang”.

Hadirin yang dihormati,
Salah satu matlamat wawasan negara yang ingin dicapai oleh pemimpin kita adalah melahirkan masyarakat penyayang. Kelahiran dan kewujudan masyarakat penyayang dapat membentuk dan membina negara maju dalam semua bidang, iaitu ekonomi, politik dan sosial. 

Langkah pertama untuk mewujudkan masyarakat penyayang adalah dengan mewujudkan perasaan muhibah antara kaum dan menghapuskan sifat perkauman.Penubuhan Rukun Tetangga merupakan satu cara perasaan muhibah dapat disuburkan dalam diri masyarakat Malaysia yang memaparkan kebudayaan dan adat resam semua kaum.
Sambutan Hari Keluarga yang sering dianjurkan oleh kerajaan atau badan-badan swasta merupakan satu langkah ke arah mewujudkan masyarakat penyayang. Sambutan yang diadakan ini dapat mengeratkan siratulrahim dan kemesraan dalam sesebuah institusi keluarga. 

Selain itu, sekolah juga dapat memainkan peranan ke arah mewujudkan masyarakat penyayang. Aktiviti yang dijalankan adalah melalui aktiviti kokurikulum seperti persatuan, unit  beruniform dan permainan. Melalui aktiviti inilah semangat perpaduan, semangat muhibah dan bersatu padu antara pelajar berbilang kaum dapat disemai. 

Hadirin yang dihormati,
Tegasnya, masyarakat penyayang  penting demi perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. 

Sekian, terima kasih.