Wajah-wajah kesayangan hamba...Anak-anak Didikku 6M / 2010

Wajah-wajah kesayangan hamba...Anak-anak Didikku 6M / 2010
Wajah-wajah kesayangan hamba 6M / 2010.....Walaupun di kelas kedua namun kejayaan mereka dalam B.M UPSR (Penulisan) mampu membuatkan hamba tersenyum...Gred A(33) manakala B(4)..Tahniah!

Thursday, December 1, 2011

SERKAP



"Serkap" lazimnya diperbuat daripada buluh, rotan dan akar. Buluh yang biasa digunakan ialah buluh duri dan buluh tela manakala akar yang biasa digunakan ialah akar pukang dan rotan biasa. Serkap biasanya digunakan pada musim membajak sawah. Mereka yang ingin menyerkap ikan biasanya akan menurut di belakang tenggala yang ditarik oleh seekor kerbau semasa membajak atau diturut di belakang traktor atau kubota.

"Serkap" digunakan dengan cara direjam ke dalam air dengan cara berulang kali, apabila terasa kocakan ikan membelah dinding serkap di dalam air, ini menunjukkan ikan telah mengena. "Serkap" akan ditekan dengan lebih kuat ke dalam supaya ikan yang berada di dalam "serkap" tidak akan keluar, kemudian ikan akan digagau dengan tangan melalui "mulut serkap" dengan berhati-hati agar tidak disengat ikan yang berduri seperti ikan keli.

 

"Serkap" juga dijadikan model oleh orang-orang tua dahulu untuk menyalur atau melahirkan pemikiran. "Serkap" pada lahirnya merupakan "penangkap rezeki" menjadi luas maknanya dalam masyarakat tradisional. Terdapat rangkap pantun berkait yang dipusakakan oleh nenek moyang tentang "serkap".
Antaranya:

Sungguh rendang pohon kuini,
     Langsai buahnya dilahap orang;
Menuduh orang tiada bukti,
     Bagai mengguna "serkap jarang".

Langsai buahnya dilahap orang,
     Biji ditabur merata tempat;
Bagai mengguna "serkap jarang",
     Peluh mengucur laba tak dapat.

Ada juga dipantunkan oleh orang tua kita zaman dahulu:

"Serkap" ikan di tengah bendang,
     Dapat keli bisa sengatnya;
Cakap tuan biarlah terang,
     Tidak kami terpinga-pinga.


 
"Serkap" kini telah dimajukan dan dijadikan sebagai bahan hiasan kraftangan dalam saiz yang kecil.


Dari segi bahasa..Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, serkap ialah :

1. sj alat utk menangkap ikan (diper-buat drpd buluh, rotan atau bemban) yg ber-bentuk spt kelongsong dan terbuka hujungnya;

2. sj alat utk menyungkup ayam (diperbuat drpd buluh dll); ~ jarang ki menuduh (meneka dll) dgn sembarangan sahaja; menyerkap 1. menangkap ikan dgn meng-gunakan serkap: tiap-tiap petang Ani mengikut bapa angkatnya ~ ikan di sawah; 2. = menyerkapi menyungkup atau mengu-rung dgn serkap (ayam dll);

3. menyerang (menyerbu, memerangkap) dgn tiba-tiba: ia diserkap secara tiba-tiba oleh musuhnya; terserkap sl dgn tiba-tiba atau mengejut (serangan dll): maka datanglah ia dgn ~, tiada sempat Yang diPertuan Muda berbuat kubu lagi.

Serkap Jarang ialah Simpulan Bahasa yang membawa maksud membuat tuduhan secara agak-agak atau tanpa usul periksa.

No comments:

Post a Comment