Wajah-wajah kesayangan hamba...Anak-anak Didikku 6M / 2010

Wajah-wajah kesayangan hamba...Anak-anak Didikku 6M / 2010
Wajah-wajah kesayangan hamba 6M / 2010.....Walaupun di kelas kedua namun kejayaan mereka dalam B.M UPSR (Penulisan) mampu membuatkan hamba tersenyum...Gred A(33) manakala B(4)..Tahniah!

Wednesday, January 16, 2013

~ JENIS-JENIS AYAT~

Ayat Perintah
 
Ayat perintah bertugas untuk menyatakan sesuatu yang berupa perintah, larangan, suruhan, permintaan, ajakan, silaan, doa, dan harapan.

Perintah        : Berdiri di atas kerusi itu.
Suruhan        : Ikat tali kasut anda dengan betul.
Larangan      : Jangan pergi ke sungai yang dalam airnya.
Permintaan   : Tolong angkat baju itu.
Ajakan         : Mengucaplah banyak-banyak.
Silaan           : Sila jamu selera.
Doa              : Syukurlah kamu sudah kembali.
Harapan       : Harap-harap hari tidak hujan.

Perhatikanlah bahawa ayat-ayat di atas mempunyai susunan yang sama, iaitu subjeknya tidak dinyatakan. Ini disebabkan subjeknya nyata dan merujuk kepada orang yang ayat perintah itu ditujukan.

Contoh-contoh di atas juga menunjukkan bahawa awalan "ber" dan "meN" kekadang tidak digugurkan. Aturan yang perlu dipegang ialah:
• Untuk kata kerja intransitif (kata kerja yang tidak memerlukan objek): awalan tidak boleh digugurkan.
• Untuk kata kerja transitif (kata kerja yang memerlukan objek): awalan meN hendaklah digugurkan.

Ayat Nafi

Ayat nafi ditandai oleh adanya kata "bukan" dan "tidak". Secara umum, ayat nafi digunakan untuk menafikan atau menidakkan sesuatu, umpamanya:
 Dia tidak berpengalaman, tetapi cekap.
 Aurora bukan jururawat, tetapi doktor.

Disamping itu, ayat nafi boleh juga digunakan untuk menekankan atau menegaskan sesuatu maksud. Contohnya:
Ayat biasa : Cadangannya harus diketepikan.
Ayat nafi    : Cadangannya tidak perlu kita pedulikan.
Ayat biasa : Kerja ketua memang susah.
Ayat nafi    : Kerja ketua tidak pernah senang.
Walaupun kedua-dua ayat dalam setiap pasangan di atas mempunyai maksud yang sama, ayat nafi menekankan maksudnya, sedangkan ayat biasa menyatakan maksud secara biasa sahaja.

Peranan ayat nafi sebagai penegas maksud juga boleh diperhatikan dalam ayat tanya, umpamanya:
1. Bukankah orang itu guru kamu?
2. Tidakkah kamu ingin menyertai peraduan itu?
3. Anda sudah faham, bukan?

Penggunaan dengan frasa nama
Secara umum, kata nafi "bukan" digunakan apabila frasa yang mengikutinya ialah frasa nama. Contohnya:
1. Ini bukan kucing.
2. Malaysia bukan negara republik.
3. Gajah bukan haiwan yang terbesar di dunia.
Selain itu, "bukan" juga boleh digunakan untuk frasa yang lain daripada frasa nama dalam hubungan seperti yang berikut:
1. Dia bukan bodoh, tetapi malas.
2. Dia bukan belajar, tetapi bermain.
Kata "bukan" dalam kedua-dua ayat itu boleh juga digantikan dengan "kata tidak":

1. Dia tidak bodoh, tetapi malas.
2. Dia tidak belajar, tetapi bermain.
Bagaimanapun, penggantian "bukan" dengan "tidak" menyebabkan sedikit perubahan maksud. Penggunaan "tidak" hanya menyatakan maksud secara biasa, sedangkan penggunaan "bukan" menekankan pertentangan dua keadaan secara jelas.

Penggunaan dengan frasa sendi
Untuk frasa sendi, kata nafi bukan dan tidak digunakan menurut kesesuaian, umpamanya:
1. Saya tidak ke sekolah hari ini kerana sakit.
2. Saya bukan dari sektor kerajaan.
3. Malaysia bukan di benua Afrika.
4. Buku ini bukan untuk anda.
Kata "bukan" dan "tidak" dalam keempat-empat ayat di atas tidak boleh saling berganti. Oleh sebab itu, perhatian harus diambil dalam penggunaan kata "bukan" dan "tidak".

Kesalahan yang biasa berlaku
Kesalahan yang biasa berlaku untuk ayat nafi ialah kekeliruan antara penggunaan kata "bukan" dan "tidak".

Ayat Tanya

Ayat tanya dalam bahasa Melayu boleh dibentuk dengan tiga cara:
Cara-cara untuk membentuk ayat tanya
1. Membubuh tanda tanya pada akhir ayat penyata

Ayat penyata Ayat tanya
Tetamu sudah tiba. Tetamu sudah tiba?
Buah itu sudah masak. Buah itu sudah masak?
Mereka hendak menolong kita. Mereka hendak menolong kita?

Dengan tidak mengubah susunan ketiga-tiga ayat di atas, ayat-ayat tanya boleh dibentuk dengan tanda tanya di hujung ayat-ayat penyata. Dalam pertuturan, ayat tanya di atas dinyatakan dengan suara menaik pada akhir ayat.

2. Menggunakan partikel "kah"
Ayat-ayat tanya dalam bahagian di atas juga boleh disungsang melalui penggunaan partikel "kah" untuk mencipta ayat tanya songsang:
Ayat penyata : Tetamu sudah tiba.
Ayat tanya : Sudah tibakah tetamu?
Ayat penyata : Buah itu sudah masak.
Ayat tanya : Sudah masakkah buah itu?

Penggunaan partikel "kah" dalam jenis ayat tanya ini adalah penting untuk mengelakkan kesamaran makna.

3. Menggunakan pelbagai kata
Ayat tanya juga boleh dibentuk dengan menggunakan kata ada, apa, bila, bagaimana, berapa, mengapa, mana, dan siapa.

Kata Ayat tanya
Tanpa partikel "kah" Dengan partikel "kah"
Apa : Apa yang kamu beli tadi?
         Apakah yang kamu beli tadi?
Bagaimana : Bagaimana cara untuk mendaftar diri?
                   Bagaimanakah cara untuk mendaftar diri?
Bila : Bila ayah kamu pulang?
        Bilakah ayah kamu pulang?

Kecuali kata "ada", yang lain dapat berdiri sendiri tanpa partikel "kah". Bagaimanapun, partikel "kah" sering digunakan untuk maksud penegasan.

Kesalahan yang biasa berlaku
Kesalahan yang biasa berlaku ialah penggunaan partikel "kah" di hujung ayat. Umpamanya:
• Tetamu sudah tibakah?
• Buah itu sudah masakkah?
• Mereka hendak menolong kitakah?
Kesalahan ini tertimbul kerana dipengaruhi oleh bahasa sehari-hari seperti berikut:
• Tetamu sudah tibake?
• Buah itu sudah masakke?
• Mereka hendak menolong kitake?

"Ke" sebagai bentuk ucapan sehari-hari bagi "kah" tidak boleh digunakan dalam tulisan. Selain itu, "kah" tidak boleh digunakan di hujung ayat.

Ayat Songsang

Dalam ayat songsang, predikat terletak pada awal ayat dan subjek pula terletak pada hujung ayat. Ini merupakan hal yang terbalik dalam ayat biasa:

AYAT BIASA → SUBJEK + PREDIKAT
AYAT SONGSANG → PREDIKAT + SUBJEK
AYAT PASIF → OBJEK + KATA KERJA + SUBJEK

Ayat songsang memberikan lagi satu cara untuk menyatakan sesuatu supaya membantu menghidupkan tulisan anda. Penggunaan ayat songsang sekali sekala akan menyebabkan bahasa anda akan lebih indah dan segar. Selain itu, ayat songsang amat berguna jika anda perlu menekankan predikat, dan bukan subjeknya. Semua jenis ayat dapat disongsangkan.

Susunan biasa                                                                   Susunan songsang

Ayat inti Encik Yosri birokrat.                                           Birokratlah Encik Yosri.
Kucing itu ke sana.                                                           Ke sana kucing itu.
Orang itu adik kamu?                                                       Adik kamukah orang itu?
Kamu belum makan?                                                        Belum makankah kamu?
Surat itu akan saya kirimkan.                                            Akan saya kirimkan surat itu.
Saya ketinggalan bas pada hari itu.                                   Ketinggalan bas saya pada hari itu.
 
Perhatikanlah bahawa dalam setengah-tengah ayat seperti di atas, partikel "kan" (untuk ayat tanya) dan partikel "lah" (untuk ayat berita) perlu digunakan supaya jelas bentuk ayat songsang itu.

Ayat Inti
 
Ayat inti ialah ayat yang paling ringkas. Ayat ini boleh digunakan untuk menerangkan sesuatu dengan ringkas dan tepat, tanpa menimbulkan sebarang kesamaran makna. Umpamanya, jika anda menyatakan "Emas ialah logam", tiada tafsiran makna lebih daripada satu. Oleh itu, ayat inti amat berguna untuk menjelaskan sesuatu dengan konkrit. Selain itu, sasterawan sering menggunakan ayat inti untuk mempercepatkan jalan cerita, atau untuk menimbulkan perasaan ingin tahu pembaca.

Ayat Gabungan
 
Ayat gabungan ialah ayat yang terdiri daripada dua atau lebih ayat yang digabungkan menjadi satu ayat dengan menggunakan kata penghubung seperti dan, serta, atau, tetapi, lalu, dan sebagainya untuk mengaitkan pendapat yang berhubungan antara satu dengan yang lain. Bahasa Melayu mempunyai enam pola ayat gabungan, iaitu:

1. Ayat dengan ayat
2. Subjek dengan subjek
3. Predikat dengan predikat
4. Adverba dengan adverba
5. Objek dengan objek.
6. Ayat gabungan dengan kata penghubung yang berpasangan.
 
Ayat Pancangan
 
Ayat pancangan ialah ayat gabungan yang terdiri daripada satu ayat besar dan satu klausa (ayat kecil), umpamanya:
• Keluarga Ali berpindah ke Kuala Lumpur kerana penukaran kerjanya.
• Jika hari hujan, saya tidak akan keluar dari rumah.
• Angkatan tentera British tertewas di Singapura walaupun mempunyai lebih askar berbanding dengan tentera Jepun.
 
 

No comments:

Post a Comment